KALA ROBOH KOTA MELAKA.... PAPAN DI PERAK DIDIRIKAN’(Bangunnya sebuah institusi diraja Kerajaan Melaka Dalam Buangan)
9.1 Sudahpun diperjelaskan spekulasi tentang perihal sekalian pembesar-pembesar yang ulung bersama Sultan Mahmud di Bentan mempertimbangkan segala-gala yang rumit dan amat berat dipikul, demi kepentingan negara di ‘Hujung Tanah’. Pemilihan ke arah mana yang patut dituju telah tersirat, mengikut bayangan daripada lamunan seulas pantun yang tercatit di dalam pengakhir bab sebelum ini.[.....]
9.2 Setelah dipertimbangkan masak-masak oleh para penguasa di Bentan, apalah muncul keinginan mempertahankan regalia dan benih zuriat tamadun ‘Bukit Saguntang’, dari tenggelam ke dalam daulat Majapahit yang menyebabkan putus kata kesemua lambang-lambang kebesaran itu terserah belaka ke ‘Negeri Laut’? Harus! Lebih redha melepaskannya ke dalam simpanan puak sendiri di Semenanjung Tanah Melayu . Sudah nyata tidaklah ke alam Jawa yang terpilih! Perkakas Kerajaan Melaka itu sudah dan masih terbukti sehingga sekarang terpulang ke pangkuan istana Negeri Perak Darul Ridzuan termasuklah para anggota yang berhak mutlak mengawasinya.
9.3 Mengisahkan riwayat orang-orang Muntah Lembu, mahupun memetik susur galur yang tertentu sahaja puak-puak mereka yang pernah berbakti di samping institusi diraja Negeri Perak, akan melibatkan secara terus menerus, riwayat perjalanan hidup budaya “kenaraan” dengan datangnya seorang Raja Muda bekas Kerajaan Melaka. Ada pula keistimewaannya sekalian warisan Raja-Raja Melaka itu yang menarik minat raja-raja mahupun pembesar-pembesar negeri Melayu “bukan-Melaka”, memandang terhadap kemuliaan “daulat Melaka”. Raja-Raja Melaka seolah mempunyai nilainya tersendiri, unggul; lebih tinggi kononnya, kerana dikatakan mereka berasal dari ‘Bukit Seri Saguntang Mahameru’.
9.4 Benih zuriat diraja Melaka dianggap berseri ketinggian martabatnya; ia menyandang iktiraf keunggulan “Paduka Seri”; berbanding dengan Raja-Raja yang bermartabat gelaran sekadar “Seri Paduka” . Walhal, ada juga negeri-negeri jiran yang lebih perkasa pada masa yang sama seperti Kerajaan Mataram, memakai akan Raja Pemerintahnya dengan iktiraf prestasi yang juga menyandang hakikat “kepadukaan yang berseri”. Walaupun ada para “Paduka Seri” yang lain, namun yang tersandang kepada Raja-Raja Teras Melaka (atau bekas Melaka) dari bukit lagenda yang di Palembang itu, entah macam mana tuahnya mengandungi keistimewaan martabat yang dimuliakan sangat oleh kaum-kaum sebangsa Gugusan Tanah Melayu, semenjak terdirinya institusi diraja Melaka.
9.5 Kepercayaan terhadap Tuah Melaka yang dikandung oleh budaya “kenaraan” itulah yang tertabal ke atas jembala dan ke dalam pendengaran melalui telinga kanan tiap-tiap seorang Raja Yang Dipertuan warisan Melaka. Pendekata, Raja Muda yang pertama kali datang ke Perak itu ada didampingi oleh saka sang “Nara” yang masih menjadi misteri. Hanya baginda sendiri yang tiada berpengalaman matang; kurang bijak menimbulkan “mastika” ternilai yang telahpun “dibuangkan ke laut” .
9.6 Maka siapakah yang menggurisi cetusan pemetik putuskata terakhir ?… mencondongkan minat memandang terhadap ‘Negeri Laut’ sebagai pilihan yang paling sesuai daripada beberapa alternatif yang terdedah?
9.7 Secara membentangi kisah-kisah ringkas yang berikut, penulis akan cuba menghujahinya menurut bak kesebelahan tebing dari tebing bab ke 8. Daripada pemetikan latarbelakang terdamparnya ‘Kenaraan Melaka’ di Beting Beras Basah dengan tersangkutnya Sultan Muzaffar Shah I, akan timbullah identiti-identiti berupa personaliti-personaliti pemetik yang tertentu.
9.8 Seperti lazimnya, riwayat Negeri Perak dan kesultanannya akan diceterakan dengan kehadiran seorang hulubalang besar yang bernama TUN SABAN BALIK. Ada dua versi kisah kedatangan beliau ke Perak. Mengikut ‘Riwayat Negeri Perak Darul Ridzuan’ yang terpetik mengisi kandungan naskhah ‘Beruas Kerajaan Kuno di Perak’, ketibaan beliau itu telah dilaporkan begini:-
‘Tun Saban ……………… (telah) datang ke Beruas bersama-sama dengan anak isterinya melarikan diri dari serangan Portugis pada 1511’ .
9.9 Mengenang kembali detik-detik kehampaan di Pulau Bentan yang membabitkan pelarian bekas anak-anak Melaka ke memerata bahagian sekitar Garisan Khatulistiwa, di bumi Kalimantan Barat, ke Pasir dan juga ke provinsi-provinsi Sulawesi Selatan , sesungguhnya ada juga yang berlepas ke Pattani. Mereka berhijrah mencari tempat-tempat yang didapati masih mempunyai Raja-Raja yang (pada ketika itu) masih belum bertelagah. Namun mereka hanya mentaati kaum pemerintah yang mempercayai keagungan (keistimewaan) ‘Daulat Seri Saguntang’. Oleh itu, tidaklah menjadi aneh sekiranya benar Tun Saban seisi keluarganya telah membawa nasib ke Beruas semenjak Kota Melaka diserangi Feringgi. Pada asas hakikat, beliau ini sudah sah sampai ke Perak; kerana ada pembuktikan sepertimana yang tercatit dari naskhah ‘Hulu Perak Dalam Sejarah’ . Namunpun berbeza tentang hal ehwal bagaimana kedatangan beliau, Tun Saban memang nyata memainkan peranan utama pada peringkat penerokaan kerajaan beraja Teras Melakadi Perak. Begini pula diceritakan:-
* ‘Maka pada masa mula-mula Tun Saban sampai ke Perak itu, negeri belumlah ada beraja (bersultan) lagi, tetapi penduduknya sudah ramai. Kebanyakan mereka itu ialah dagang senteri yang datang berniaga dari negeri-negeri yang berjiran seperti dari Melaka, Selangor (Klang?); Siak, Kampar, Jambi dan lain-lainnya. Adapun yang menjadi Penghulu di Perak pada masa itu ialah seorang perempuan bernama TOK MASOKA, iaitu berasal dari Daik. Pangkuan kepada Tok Masoka ini bernama NAKHODA KASSIM, iaitu seorang bangsa “Temusai” yang pandai bercakap berbagai bahasa seperti Arab, Cina, Keling, Acheh, Batak, Sakai dan sebagainya.....’
* ‘Tiada berapa lama antaranya, Tok Masoka pun kembali ke Rahmatullah, tetapi sebelum ia meninggal dunia itu, ada ia berwasiat katanya, jika ia mati, hendaklah dicari gantinya seorang raja yang berasal daripada anak cucu Sang Sapurba; supaya zuriat raja-raja yang turun dari Bukit Saguntang itu tidak terputus di Tanah Melayu ini. Maka bermesyuaratlah seisi negeri akan memilih seorang (Raja) Yang Dipertuan. Keputusannya, bersetujulah dengan sebulat suara menyuruhlah Tun Saban dan Nakhoda Kassim pergi ke Kampar mengadap Sultan Mahmud Shah, memohonkan seorang putera baginda untuk dirajakan di Perak...’
* ‘Sultan Mahmud Shah telah mengurniakan puteranya yang bernama Raja Muzaffar (iaitu putera baginda dengan Puteri Onang Kening anak raja Kelantan) untuk dirajakan di Perak serta dikurniakan alat kebesaran (bawar) sekali; iaitu terdiri daripada sebilah pedang bernama “Chura Si Manjakini”, sebilah keris, sebuah cap yang ada tersurat perkataan Sultan Mohammad Shah dzillu’llahi fi’l-alam” bernama Cap (Mohor) Kayu Kempa, beserta Nobat dan “Surat Chiri”.....’
* ‘Selepas menerima titah perintah daripada paduka ayahanda baginda untuk pergi ke Perak itu maka Raja Muzaffar pun bersiap-siaplah hanya menunggu saat yang baik jua hendak berangkat meninggalkan Kampar. Sementara itu, Tun Saban telah balik dahulu ke Perak menyediakan 77 ekor gajah yang sarat bermuat dengan pelbagai persembahan daripada para penduduk Hulu Perak lalu pergi menunggu Raja Muzaffar di Kuala Perak....’
9.10 ‘Sejarah Melayu’ tidak pernah mengisahkan tentang lawatan Tun Saban dan Nakhoda Kassim pergi mengadap Sultan Mahmud Shah di Kampar. Ini bukanlah bererti cerita dari sudut versi-versi sejarah Negeri Perak itu tidak benar. Ia hanya menunjukkan bahawa kandungan versi-versi salinan yang diketahui dari kesemua resensi ‘Sejarah Melayu’ sahaja yang tiada mencatitkannya. Perihal pemadaman fakta-fakta benar itu bukan tentang hal ehwal Negeri Perak sahaja yang terbuang. Sekiranya kita tidak mencungkil data-data dari berbagai sumber negeri-negeri Melayu yang berjiranan dengan Semenanjung ‘Alam Teratai’, nescaya tidak kita memperolehi kesahihan seperti kisah perkahwinan diraja Johor-Acheh yang telah memberi fakta paling relevan menjelaskan beberapa perkara yang terspekulasi sebegini lama .
9.11 Maka lebih-lebih lagilah tiada dapat disekat akan pembawaan perkakas kerajaan Melaka itu ke Perak sesudah janji asal itu diperingatkan oleh para perwakilan Manjong-Beruas! Apakah Paduka Seri Sultan Mahmud sedang berbelah bagi hendak serta bersama berpindah kerajaan ke Perak? Malangnya baginda sudahpun dalam keadaan uzur-uzur. Dalam pada itu, pentadbiran di Manjong-Beruas telah sekian lama menanti; kerana lambang perpaduan “Diraja Melaka” yang akan menyatukan semangat angkatan perang dari utara pantai Semenanjung yang akan menyerang Feringgi di Kota Melaka sudah hampir sedia berpakat; ataupun dikumpulkan. Sudahpun ternyata perihal ikhtiar mendapatkan sokongan dari Kerajaan Acheh itulah yang mendorong Bendahara Tun Ishak mengarahkan Laksamana Hang Nadim pergi meminang Puteri Acheh . Kehadiran lambang-lambang yang menghiasi tubuh diraja, seperti Cap Mohor Halilintar, Pedang Curek Si Mandakini dan sebagainya, adalah secara sekumpulan menjadi seandai panji-panji perteguhan. Barang-barang ketakhtaan itu mesti dipakaikan kepada tubuh Waris Teras Diraja Melaka. Barulah sempurna bunyian nobat kerajaan Melaka mematuhi adat turun-temurun Melaka-Palembang.
9.12 Pendapat penulis, pemergian para pewakil (Perak) mengadap ke Kampar itu adalah disebabkan hal-ehwalnya yang lama telah tergendala . Iaitu, demi memperujukkan kembali janji mengirim Raja Muda dengan alat-alat kebesaran (Melaka) yang kian tertangguh-tangguh, masih tidak tiba-tiba lagi ke Perak. Jika tiada suasana dan keadaannya terdesak sedemikian, adalah diagak terlalu senang, seolah mudah sekali Perkakas Kerajaan Diraja Melaka itu dilepaskan ke Perak! Yang dipertikaikan di sini tentang kisah versi-versi dari sudut sejarah tertulis dari Perak itu, ialah tidak akan dengan sewenang-wenang Sultan Melaka di Kampar sanggup melepaskan, segala alat-alat pusaka kebesaran negeri. Nampaknya, bukanlah dengan keredhaan sekaligus berpunca dari kedatangan Tun Saban dan Nakhoda Kassim memohonkan seorang Teras Diraja keturunan Sang Sapurba, yang menyebabkan alat-alat Perkakas Kerajaan (Melaka) itu kesemuanya terpulang ke pangkuan istana Negeri Perak.
Dari Sudut “Negeri Laut” @ Gangganegara
9.13 Seandainya TOK MASOKA masih hidup, sebagai Penghulu Besar di bekas alam ‘Gangganegara’, sudah semestinya telah diberitahu oleh Tun Aria Bija Diraja tentang perkembangan dari lawatan beliau mengadap Raja di Bentan . Tentang perihal hebah (wasiat) Tok Masoka itu pula, agaknya atas kehendaknya sebagai anak Pulau Lingga, kerana itulah dikatakan dia berasal dari Daik . Penulis menyarankan kalau tidak demi menghormati kemahuan Tok Masoka, adapun orang-orang Mayuridingam sudah terlintas rencana hendak menggantikan kedudukan yang diperuntukkan bagi Waris Teras Diraja Melaka itu dengan anak raja lain, yang bukan dari keturunan kesultanan Melaka. Dari Kedah misalnya; Acheh ataupun dari Pasai. Boleh jadi juga diura-urakan mencari Waris Teras Daulat Pagar Ruyung, kerana sudah tentu orang-orang besar itu semua sedar tentang kedaulatan raja-raja Minangkabau juga berasal dari Raja Sang Sapurba. Mungkin jua putera dari Kelantan-Pattani. Dari aspek yang jelas, punca persuaan dan hebah Tok Masoka itu seharusnya kerana mereka gelisah dan puas tertunggu-tunggu (mematuhi “Bai’ah” Sultan Mahmud) ketibaan Teras Melaka di sisi rakyat kerajaan Manjong-Beruas. Tetapi yang terselubung ialah Tok Masoka itu bertegas menghendakkan Kedaulatan dan kenaraan Melaka yang berprestij atas sebab sepertimana yang telah diterangkan di bahagian awal bab ini.
9.14 Dalam hal yang sama, penulis ingin berhipotesis perihal “wasiat” Tok Masoka kepada para ketua kawasan sekitaran Pulau Perak itu. Penulis merenung menerus tertarik atas fakta-fakta tertentu, bahawa amanah termaksud telah berlangsung sebelum Tun Aria Bija Diraja pergi mengadap Sultan Mahmud di Pulau Bentan. Tun Aria semestinya telah berpakat-pakat Tok Masoka terlebih dahulu sebagai Penghulu Besar bagi keseluruhan jajahan di perpantaian negeri termaksud. Ini sewajarnya berlaku kerana Memohon restu kepada Penaung sebelum berangkat besar-besaran adalah resam bagi orang-orang Melayu. Harus ada kemungkinan Tok Masoka yang berasal dari leluhur suku kaum Gugusan Kepulauan Riau pun turut serta dalam rombongan tersebut; ataupun boleh jadi beliau sedang uzur dan tiada dapat pergi bersama. Walau bagaimana sekalipun keadaannya, sesuatu perbincangan semestinya telah diaturkan demi mustahid berkukuh-kukuh objektif, tugas dan beringat-ingat lagi berpesan di antara yang akan pergi dengan yang tertinggal di halaman sendiri. Sesungguhnya kuat sekali kemungkinan terbitnya permohonan ingin berajakan Teras Melaka telahpun dikemukakan Kebawah Duli Baginda Sultan Mahmud di Bentan oleh rombongan Tun Aria Bija Diraja.
9.15 Demi mencapai kepada keputusan yang amat penting itu, apakah ketika meluah-luahkan pandangan semasa bermajlis di Bentan, segala firasat dari pelbagai aspek tidak diambil kira dan dipertimbangkan? Maka pada ketika itulah Tok Masoka, ataupun pesanan beliau, telah diketengahkan ke bawah perestuan Raja dan Bendahara di Bentan. Lalu dipersetujuilah dalam prinsipnya memindahkan seorang waris diraja serta segala Perkakas Kerajaan Melaka ke Perak. Haruslah Tun Saban juga turut hadir mengadap Rajanya sesudah bermastautin di kawasan Manjong-Beruas selepas tahun 1511. Atas kehadiran beliau dalam rombongan tersebut, mungkin Tun Saban telah diperintahkan tinggal sementara di Bentan sebelum pergi mengintip dan merisik ke Pattani* demi menentukan keselamatan kawasan Hulu Perak.
9.16 Sementara itu, sambil menunggu ketika yang baik untuk diaturkan perlaksanaanya, dengan tidak diduga angkatan maritim Feringgi telah semula menyerang Bentan pada tahun 1526. Oleh itu segala rancangan telah tergendala seketika masa. Sesudahnya, terpaksalah Raja dan sekalian di Bentan berpindah ke Kampar sepertimana yang telah diketahui. Maka dalam jangkaannya, kalau diperkira daripada tahun penyerangan Feringgi yang terakhir terhadap Bentan, pertemuaan dengan Tun Aria Bija Diraja serta rombongan 30 banyak kelengkapan itu mestilah terjadi sebelum 1526. Penulis mencadangkan pada tahun 1525; dan kemudian pertemuan Tun Saban disertai Nakhoda Kassim di Kampar dengan Sultan Mahmud itu pula, seharusnya berlangsung sebelum kemangkatan baginda pada tahun 1530. [Semasa itu, Bendahara Tun Khoja Ahmad sudahpun meninggal dunia di Kampar dan penggantinya ialah anaknya Bendahara Tun Ishak Berakah]. Penulis mencadangkan persuaan di Kampar itu adalah dalam anggaran antara tetahun 1528 - 1529. Ini berimplikasi sudah tiga - empat tahun berlalu Sultan berbai’ah kepada Pemerintah Manjong di Bentan, barulah para pewakil Perak datang semula mengadap di Kampar -- bertanya-tanya tentang perihal pakatan dan persetujuan yang lampau.
9.17 Peristiwa yang tercetus “menghincitkan” Tun Terang mengiring suaminya kini dibawa perhatian . Kerana melengah dan bertangguh-tangguh, rencana berangkat ke Perak itu sudah berlarutan selama hampir-hampir setahun selepas hari kemangkatan almarhum; sepertimana yang penulis mengesyaki di dalam bab ke 8. Kelengkapan keberangkatan baginda yang telah dipakati antara pihak Kampar dan Manjong semuanya sudah kucar-kacir yang mengakibatkan rencana rombongan diraja yang hendak ke Perak itu tergendala lagi. Lalu naik geram Bendahara Paduka Tuan dan orang-orang besar di Kampar. Dalam hal yang tersebut, adalah kerana mereka tidak boleh tunggu-tunggu lagi, sebab tarikh angkatan besar rombongan hendak belayar mengkahwinkan Sultan Muda Alauddin Riayat Shah dengan Puteri Acheh sudah hampir menjelang. Terpaksalah Raja Muda Muzaffar serta pengikutnya yang dijadualkan bertolak ke Perak membawa nasib memikul risiko tersendiri. Seterusnya telahpun diperkisahkan seperti kandungan-kandungan versi ketibaan pihak Raja Muda di Kelang daripada perakaman ‘Sejarah Melayu’ dan versi-versi laporan dari Perak.
9.18 Dalam firasat penulis, sudah tiada disyak lagi Perkakas Kerajaan Melaka itu telah dilepaskan bersama-sama Raja Muda Muzaffar dalam sebuah rombongan kecil semasa baginda berangkat dalam antara lingkungan pertengahan tahun 1530 dan awal tahun 1531 masihi. Hujah-hujahnya adalah sepertimana yang telah tersebut di dalam bab ke 8 itu.
9.19 Meneruskan kembali kisahnya, ‘Hulu Perak Dalam Sejarah’ telah menerangkan, manakala rombongan Raja Muda Muzaffar berlepas dari Siak, pengiring-pengiring baginda termasuklah MEGAT TERAWIS “Ibni Daulat Pagar Ruyung” . Begitu juga yang telah tercatit dalam berbagai-bagai penulisan tentang riwayat Bendahara Perak yang ke 2 ini.
9.20 Menurut pemetikan dari naskhah salinan tangan kepunyaan Allahyarham Cikgu Hussein Mahmud, ketibaan Raja Muda Muzaffar seisi rombongan tidak secara menerus ke tempat lagenda ‘BETING BERAS BASAH’ di tengah-tengah muara Sungai Perak. Rombongan yang dimuatkan ke dalam baluk seorang yang bernama Nakhoda Tumi di Kelang itu menuju ke arah Kota (bandar) Beruas. Dalam renungan penulis, laporan ini amat bermunasabah :-
“Setibanya di Beruas, raja itu ditabalkan dengan gelaran ‘Maulana Paduka Seri Sultan Mudzaffar Shah, Yang Dipertuan Gangganegara’ dan bersemayam di Tanah Abang” .
9.21 Alangkah bahagia Tok Masoka sekiranya sempat (“mendiang”?) itu melihat Perkakas Kerajaan Melaka sampai ke pangkuan negeri, dan beserta menyambut dan merestui pertabalan Waris Teras Diraja Melaka ‘Bukit Saguntang’ yang diharap-harapkannya. Beliau diceritakan telah meninggal dunia sebelum Tun Saban dan Nakhoda Kassim berlepas ke Kampar mengadap Raja Melaka .
9.22 Peristiwa pertabalan di Beruas itu berbeza dengan kisah versi yang biasa diketahui, tetapi sewajarnya boleh berlaku. Berbanding dengan yang sering kita sedari selama ini, sepatutnya kita perlu mengkaji hakikat motifnya; memandangkan Beruas adalah sebuah bandar perdagangan yang dipercayai masih aktif dalam abad ke 16; tetapi tidaklah semaju tempoh masa nan lampau . Yang menjadi tanda tanya ialah, kenapa ke bandar Beruas dan tidak ke pusat kerajaan yang telah berpindah ke Manjong? Kedua-dua ‘negeri’ yang dimaksudkan ini kebetulannya terletak di dalam satu kawasan datar perpantaian yang dikenali sebagai ‘MAYURIDINGAM’ (= Manjong @ Dinding) yang mempunyai pusat pemerintahan di sebuah cawangan jajahan bernama ‘Gangganegara’ @ ‘Negeri Laut’. Dalam renungan beberapa pengkaji sejarah di Negeri Perak, yang memetik penerangan lisan orang-orang tertua, dataran tersebut juga menggulungi ke utaranya, kawasan Selinsing (Larut & Matang sekarang) dan ke arah selatan perpantaian ialah ‘Pulau Perak’ termasuk kawasan tebing-tebing kiri dan kanan kawasan hilir Sungai Bernam langsung memudar ke kawasan hilir muara Kelang.
9.23 Mengikut penerangan orang-orang tertua tempatan entiti jajahan-jajahan yang dikenali sekarang sebagai ‘Negeri Perak’ adalah tergolong dari kaum-kaum yang berikut:
Daerah (“negeri”) kaum Melayu [leluhur Melayu Kuno + Sailendra]
(I) Beruas (dijembalai oleh waris raja-raja Beruas dari keturunan “Kadaram”).
(ii) Manjong (pada asalnya sebahagian Selinsing kemudian ditadbirkan oleh Pemerintah Beruas).
(iii) Selinsing (diketuai oleh Penghulu Besar).
Daerah (“negeri”) kaum ‘Orang Darat’ [suku Orang “Asli”]
(iv) Kinta (kaum Suku Semai dijembalai oleh “Maharaja Kinta” di seluruh kawasan Lembah tersebut).
(v) Pelus (kaum-kaum suku Temiar dan Lanoh oleh pembesarnya yang berhak dari Kuala Pelus hingga ke sekitar kawasan hulu sungai tersebut).
(vi) Temong (kaum suku-suku Temiar, Lanoh dan Jahai sama juga halnya dari Kuala Pacat di Sungai Perak hinggalah ke hulu Sungai Belum)
Daerah (“negeri”) kaum ‘Orang Laut’ [leluhur Seletar @ “Orang Selat”]
(vii) Pulau Perak termasuk Bernam menjulur langsung memudar di Kuala Selangor (diketuai oleh ‘Tok Batin Laut’). Penulis mengesyaki setiap ketua mereka itu ialah kerabat Tok Masoka yang berasal dari Daik kerana kawasan Bentan-Lingga adalah kawasan pusat tradisional orang-orang suku kaum puak ‘Temenggong Merah Mata’, iaitu pewaris seorang Raja Sang Sapurba yang pernah berkahwin dengan Puteri Suku Seletar. (Kita akan menemui susur galurnya di dalam satu bab yang akan menjelang nanti).
Kala disebut “Tok Masoka menjadi Penghulu di Perak” wajar diertikan “Tok Batin @ Penghulu Pulau Perak” dan Bernam [Di kawasan muara Kelang pula bertempatnya puak pembantu Tok Batin Perak yang kemudian disertakan seorang pembesar Melayu Melaka @ Wakil sultan kerajaan pusat di Hujung Tanah].
9.24 Ada kemungkinan rakyat Beruas lebih berhajat untuk menapakkan Waris Teras kesultanan Melaka itu ke pusat asal ‘Negeri Laut’ yang telah wujud di dalam emporium Srivijaya tua. Sesungguhnya prestasi Raja Muda Muzaffar akan meningkat sekiranya baginda membangunkan kembali imej asal sebagai ‘Yang Dipertuan Gangganegara’ sepertimana yang dijelaskan tadi . Mungkin inilah hasrat di sebalik pendesakan Tok Masoka itu. Orang-orang Melayu yang kuat mempercayai tentang budaya kedaulatan seharusnya ingin menaikkan semula Daulat Manjong-Beruas, bagi meletakkan Rajanya di tapak daerah di mana telah gugur RAJA GANGGA SHAH JOHAN , Pemerintah Kerajaan Gangganegara dalam pertarungan perang dengan Maharaja bumi Cholamandala: RAJENDRA I @ “Raja Chulan” @ “Raja Suran” (1012 - 1044). (Maharaja Kelingga dari pantai timur India Selatan itu telah datang melanda Empayar Srivijaya dalam lingkungan tahun 1025 masihi ).
9.25 Mengenengahkan kembali spekulasi sepertimana yang telah dibentangkan tadi; adalah demi mempertimbangkan sama juga, kenapa Raja Muzaffar yang telah dikatakan bertabal di Beruas tidak tetap berkarar di tengah pusat Kerajaan Manjong-Beruas? Sebaliknya dari sudut Perak, apakah ada sesuatu kejadian “serba salah” di antara pembesar-pembesar Manjong-Beruas itu sendiri; di samping buah pandangan Penghulu kaum Melayu daerah (‘negeri’) Selinsing dan para ketua ‘Orang-Orang Darat’ pedalaman, yang mempunyai hak bersama-sama orang-orang kaum Melayu, telah membabitkan perdebatan dalam hal ehwal pencapaian keputusan ....... di manakah hendak mendirikan istana dan perkampungan diraja? Masing-masing baru tersedar dengan kehadiran baginda di tengah-tengah perkampungan mereka, kuasa mutlak mereka mengutip hasil jajahan dan takluk akan bertelagah dengan hak raja pendatang di alam mereka .
9.26 Dalam kawasan keseluruhan alam “Gangganegara / Indera Sakti” yang termaksud, tidak pernah tersebut ada di antara para penguasanya yang menakluki rebut-rebutan sesama sendiri; melainkan yang sekali sahaja terkisah tentang perihal Beruas bertengkar dengan Manjong. Dengan campur tangan kerajaan Melayu Melaka, justeru Sultan Mahmud telah menyerahkan Manjong ke bawah urusan Beruas. Peristiwa inilah yang mewujudkan saling persaudaraan di antara puak Tun Aria Bija Diraja dengan puak Bendahara Tun Khoja Ahmad .
9.27 Puan Barbara W. Andaya pernah berspekulasi tentang perihal Raja Muzaffar, yang dikatakan oleh beliau menerima undangan menetap di Beruas, namun baginda menolak, walaupun baginda berkemampuan meletakkan kedaulatan Melaka di situ. Beliau menyangka Sultan Muzaffar Shah mungkin memikirkan paduka adinda baginda dan sekalian pembesar di ‘Hujung Tanah’ tidak akan menjadi cemburu dan mengancam kedudukan kesultanan (Muzaffar) apalah baginda ini berbuat negeri di (Pulau) Perak, yang hanya berupa sebuah rantau usang .
9.28 Dalam renungan penulis, pemilihan bernegeri di Pulau Perak adalah disebabkan oleh:-
* Tun Saban seisi keluarganya yang berpuak dengan Orang-Orang Darat itu pada mula-mulanya mahukan Sultan Muzaffar karar di kawasan mereka.
* Tun Aria Bija Diraja (yang berkeluarga dengan Bendahara Paduka Tuan Tun Ishak Barakah) merasai lebih mudah baginda berada di “kawasan Melayu” khusus memilih Beruas supaya senang dipelihara martabat kesultanan Melaka di negeri Melayu, berbanding dengan di kawasan “Orang Darat”. Dan umanah bai’ah itu secara persis menyebut ‘Negeri Laut’, yang tidak menggolongi sekalian jajahan ke Hulu Sungai Perak mahupun di Lembah Kinta.
* Kita patut merujukkannya juga kepada wasiat Tok Masoka. Kaum ‘Orang Laut’ pula tidak ada apa-apa yang hendak disaran mereka tentang hal ehwal masalah itu, lagipun Tok Masoka sudah meninggal dunia, melainkan memperingatkan khidmat dan bakti mereka tetap mematuhi resam dan adat mempertuankan Teras ‘Bukit Saguntang’. Di mana jua Rajanya berada, di situlah arah disanjung.
* Aliran Sungai Perak sudah beralih dan tidak lagi membuat Bandar Beruas mahupun Manjong berupa tempat strategic dari aspek pertahanan mahupun sumber ekonomi. Lembah(Sungai) Perak banyak mempunyai sungai-sungai terulung Lembah Kinta yang bermuara ke Sungai Perak. Kebanyakkan susur-alur komunikasi ini berkuala di sekitar hilirrantai “Tanah Abang”. Hulu-hulu sungai-sungai berkenaan itu kesemuanya berpontesi menghasilkan emas dan bijeh endaman .
9.29 Maka Sultan Muzaffar setelah mempertimbangkan segalanya, dipilih baginda jajahan (Pulau) Perak, iaitu di kawasan hilir Sungai Perak, di mana baginda merasa selesa bertradisikan sekaum rakyat Raja Sang Sapurba yang tetap tiada berbelah bagi akan ketaatan dan kesetiaan mereka - meletakkan keselamatan ‘daulat’ baginda kepada ‘Orang Laut’. Ini seharusnya merupakan kompromis yang wajar sekali, memandangkan puak-puak yang berpihak itu diketahui sudahpun meletakkan beberapa syarat yang tertentu kepada baginda. Misalnya, puak ‘Tok Temong’, pada masa kemudian terketara, tidak mengizinkan Raja berkuasa penuh di kawasan sebelah tebing kiri Sungai Perak! Daerah-daerah Manjong-Beruas dan Selinsing tetap di bawah pegangan pembesar masing-masing. Raja mereka cuma dibenarkan berkuasa mutlak di tebing kanan Sungai Perak dari muaranya bermudik sehingga ke Kuala Sungai Pelus sahaja. Di sebelah darat tebing kanan itu, lalu berbatas meniti banjaran Keledang dari arah hilirnya ke hulu setakat puncak Gunung Sayong. Maharaja Kinta suku Semai tetap pegangannya ke seluruh Lembah Kinta. Orang-Orang Darat suku-suku Temiar dan Lanoh di kawasan Kuala Sungai Pelus diperintah oleh Tuan Temu dan isterinya Tok Temong dan yang di hulu negeri itu pegangannya masih mengikut perintah Tun Saban. (Sila rujuk kepada peta).
9.30 Sudah tentu kompromis itu dipersetujui oleh sekalian pembesar alam ‘Indera Sakti’. Maka baginda perkenan mencari sebuah tempat di jajahan (Pulau) Perak langsung belayar semula pada ketika yang baik. Sementara itu, rombongan pihak Melayu dan yang lain-lainnya telah mendahului pengaturan rencana mengupacarakan adat istiadat menyambut baginda di Kuala Sungai Perak; sepertimana yang biasa diketahui umum.
9.31 Di ‘BETING BERAS BASAH’ bahtera diraja telah dikisahkan tersangkut ke beting lagenda di tengah-tengah muara. Terselamat dari peristiwa tersebut, diceritakan pula tentang upacara sambutan ketibaan baginda oleh sekalian para pembesar yang dikatakan ke bawah pengelolaan yang dijembalai oleh Tun Saban Balik. Seterusnya diperkisahkan terkemudian daripada itu peristiwa-peristiwa sepertimana yang tersurat di dalam sejarah negeri Perak tentang ketibaan ‘Marhum Tanah Abang’ (mangkat 1549). Penulis meletakkan tahun pemerintahan baginda mulai lewat tahun 1530 (menjelang 1531) iaitu selama 19 tahun atas hujah-hujah yang telah tertera sebelum ini . Sebagaimana anggapan biasa, Paduka Seri Sultan Muzaffar Shah I telah ditabalkan di “rantau” Tanah Abang (Telok Bakong sekarang) dengan gelaran baginda ‘YANG DIPERTUAN PERAK’. Dan pada ketika ditabalkan, adik perempuan Tun Saban, ‘Tok Temong’ Pemerintah “Keramat” orang-orang di hulu Sungai Perak “....telah datang membawa persembahan sejenis tangkal azimat bernama ‘Mestika Embun’ ” .
9.32 Berdasarkan semasa di Beruas konon baginda disebut sudahpun diupacarakan penabalan dan bergelar ‘Yang Dipertuan Gangganegara’, maka pertabalan seperti yang terkisah di rantau Tanah Abang itu berimplikasi Sultan Muzaffar Shah I telah ditabalkan bagi kali yang ke 2!
Perbezaan antara istilah “Bertabal” dan “perlantikan”
9.33 Kalau benar, ianya adalah bertentangan dengan adat sepertimana yang disedari mematuhi norma-norma budaya dan kepercayaan, berlandaskan tamadun ‘Bukit Saguntang’. Iaitu, seseorang Raja Yang Dipertuan hanya boleh ditabalkan sekali sahaja seumur hidup baginda . Perlu diingatkan bahawa dari konteks kebudayaan, memang jauh berbeza mengikut pengertian adat, di antara melakukan ‘tabal’ dengan ‘perlantikan’. Kedua-duanya adat-adat istiadat itu ada prosedurnya yang tertentu. Itulah yang diperlakukan dalam hakikat adat-adat meletakkan Raja di singgahsana diperbuat berperingkat-peringkat . Perlantikan boleh diperlakukan seberapa banyak yang diperlukan, berdasarkan tiap-tiap peranannya; walhal tertabalnya Raja itu akan berwataklah baginda atas kedudukannya yang karar dan kalam sepertimana teorinya. Yang tertabal itu ialah Yang Dipertuan menjadi Raja, dan yang terlantik itu ialah Raja Yang Dipertuan sebagai Jembala Pemerintahan = Raja Pemerintah. Dalam insiden yang termaksud di atas itu, apakah Raja Muzaffar telah ditabalkan di Beruas dan dilantik di Tanah Abang sebagai Jembala Pemerintahan?*. Nampaknya paling munasabah. Segenggam Renungan
9.34 Sungguh aneh apa yang telah terjadi itu disebabkan kekeliruan dalam laporan-laporan yang bercanggah di zaman lampau mahupun apakah itu yang sebenarnya berlaku? Kita cuma dapat berspekulasi bahawa kesultanan ‘Negeri Laut’ hanya tergolong kepada kekuasaan persatuan kaum Melayu di jajahan Manjong, Beruas dan Selinsing sahaja; manakala apabila putera teras ‘Bukit Saguntang’ itu bergelar kemudian selaku Raja Pemerintah negeri ‘Perak’, Sultan Muzaffar Shah I telah dipertuankan dan mempunyai kedudukan prestasi ke atas sekalian para pemerintah jajahan-jajahan yang bernaung di bawah kawasan (persekutuan) Negeri Perak yang menyeluruh dari rantau Tanah Abang. Ini secara langsung menghakikati bahawa baginda itu seandai RAJA YANG DIPERTUAN AGUNG: Penaung Diraja 7 Jajahan! .
9.35 Dikemukakan pula tiga lagi keanehan:
(i) Pihak yang memainkan peranan-peranan terdirinya “papan-papan di Perak”, menjadi sebuah kerajaan yang bertradisikan tamadun ‘Bukit Saguntang’, dan masih wujud ketara sehingga masakini, adalah bertonggak kerana kaum wanita! Walhal, keketaraan demikian tidak kelihatan bagi ‘Bukit Saguntang’ di ‘Hujung Tanah’. Kedua-dua wanita di Perak ini jika diselami leluhurnya, seorang berasal dari Lingga, dan seorang warisan asal Palembang! Kedua-dua kawasan bumi yang berlagendakan bangsa Melayu-Sailendra:
* Zahir kenegerian oleh Tok Masoka: Dipercayai dari cabang keturunan ‘Raja Sang Sapurba’. Terdestini menjadi punca sepertimana disyaki, yang mendorongkan pihak penguasa di ‘Hujung Tanah’ memilih alam ‘Indera Sakti’ seandai tapak singgahsana di mana terletaknya Perkakas Pusaka Kedaulatan Melaka-Palembang.
* Berbatin kekeramatan Tok Temong: Yang telah mempersembahkan sebuah tangkal azimat berupa sebutir geliga embun yang besar lagi berdaulat. Mastika ini telah menjadi sesuatu daripada khazanah kepusakaan yang tertulen dari Negeri Perak. Tentang kekeramatan Tok Temong sehingga sekarang akan dibentangkan kemudian.
Wanita-wanita berdua ini boleh diistilahkan sebagai ‘SURI KENARAAN TAKHTA’ PERAK yang induk. Begitulah peri pentingnya peranan dan watak seseorang wanita di sisi kerajaan yang dikehendaki berdaulat. Mereka yang berkewibaan lagi berketurunan yang sah berbenih dari asal usul zuriat ‘Bukit Saguntang’. Sesungguhnya bagai dikata dalam peribahasa Melayu: Wanita itu dialah racun dan dialah juga penawar!
(ii) Kita merenung pula kepada suatu lagi keanehan yang berkait dengan perihal destini “kewanitaan” daulat Bukit Seri Seguntang negeri Perak. Keturunan Raja-raja Perak mulai keturunan sultan ke10 (1636-1653) baka dirajanya adalah dari sebelah “tanah” Raja Melaka. Tidak lagi daripada sebelah “bineh”.
(iii) Pernah terjadi pada kemudian zaman, misalnya, (aneh; apakah secara kebetulan sahaja?) Sultan Muzaffar Shah III (‘Marhum Haji Allah’ 1728-1754) telah bermula secara dipilih oleh paduka ayahanda saudaranya, Sultan Mahmud Iskandar Shah bertabal menjadi Raja Yang Dipertuan Bernam @ ‘Raja Di Hilir’* . Hanya pada peristiwa yang berikut daripada itu, barulah baginda diisytiharkan sebagai Raja Pemerintah Negeri Perak Darul Ridzuan. Sepertimana yang telah dijelaskan sebelum ini, kawasan Bernam itu adalah tergolong sebagai sebahagian (Pulau) Perak. [Ini seharusnya membuktikan bahawa semasa zaman tersebut, para penguasa kerajaan Perak masih akur dengan segala pola-pola tamadun warisan silam Kerajaan Srivijaya yang mewujudkan para pemerintah yang berpandu kepada tiga “Dapunta Hyang” negeri iaitu Maharaja, Yuvamaharaja dan Yuvaraja] .
Intipati Keadaan Di Tanah Abang
9.36 Keadaan di perkarangan istana di zaman Sultan Muzaffar Shah I mula bermastautin di Tanah Abang sememangnya sudah disedari dalam serba kekurangan. Tiada terpasti sebarang adanya berSeri Nara Diraja, siapakah Temenggongnya, siapa pula bertugas Perdana Menteri, siapa berjawatan Laksamana selain daripada yang lain. Dalam kefakiran itulah anak Bendahara Paduka Tuan Tun Ishak ‘Barakah’ iaitu ‘Sri Agar Diraja’ di Selangor entah bagaimana dapat dipelawa, sanggup pula beliau meninggalkan jawatannya di sana. Dianugerahi baginda pangkat. Walau bagaimanapun TUN MAHMUD yang beristerikan Tun (Fati)mah binti (Tun Aria Bija Diraja) Pemerintah Manjong-Beruas telah dijadikan Bendahara (Sri Agar Diraja?) Perak I. Barangkali, terkilan juga Tun Saban dan/atau Tun Aria tidak tercalon mengisi jawatan yang masih kekosongan serta amat berprestij itu.
9.37 Mengenai perlantikan Tun Mahmud ini amat memeranjatkan pihak diraja serta Bendahara Paduka Tuan di ‘Hujung Tanah’. Apakah orang yang mengadukan halnya ke istana di Pekan Tua itu ialah bapa mertua Bendahara Perak itu sendiri? Kerana Tun Mahmud itu sesudah berjawatan (di Kelang?), dia telah berkesempatan pergi ke Kedah dan berkahwin pula dengan Raja Setia, puteri Sultan Kedah . Apakah dicemburui oleh isteri pertama dan bapa mertuanya Tun Aria? Sebagai Bendahara Perak, beliau boleh jadi telah mengutamakan puteri Kedah itu yang mungkin terlantik mengatasi Tun Mah. Maka dihasut-hasuti pelbagai macam keburukan tentang Tun Mahmud kepada istana Johor lalu tidak lama kemudian, telah dipaksa melucutkan jawatannya dengan perintah Sultan Alauddin Riayat Shah di Johor. Pergolakan dalaman di antara Manjong-Beruas dengan Bendahara Tun Mahmud memang ketara.
9.38 Jika diperhatikan kesan cerita “Sejarah Melayu”, Bendahara Tun Mahmud bin Bendahara Tun Ishak dikisahkan menetap di ‘Pelabuhan Jong’ (sekarang = “Cangkat Jong”). Selaku Bendahara Perak, amat ganjil jawatan yang disandangnya berpengkalan jauh memencil dari perkarangan Istana Tanah Abang. Sedemikian jua dari pusat kaum melayu di Manjong-Beruas yang memang sanak-saudaranya. Ini mengungkit kepastian adanya perselisihan di antara Tun Mahmud dengan keluarga ayah mertuanya di Manjong itu. Demi mengelak ketegangan beliau segan berdekatan kediaman di sisi perkarangan Sultan seperti lazimnya. Barangkali “Pelabuhan Jong” itu merupakan lokasi kompromi demi Tun Mahmud berdekatan juga ke pusat pentadbiran beliau di (Kuala) Selangor sebelum beliau menyandang jawatan Bendahara Perak. “Selangor” masih menjadi “pegangan”nya sepertimana yang telah dipertugaskan bagi pihak kerajaan Hujung Tanah oleh ayahnya Tun Ishak Barakah Bendahara Paduka Tuan Johor .
9.39 Pelabuhan / Changkat Jong adalah sebuah tempat di tebing Sungai Bidor tidak jauh dari bandar Telok Intan sekarang. Namun kita perlu membayangkan keadaan geografi aliran Sungai Bidor yang berkuala di Sungai Perak itu memang jauh berbeza dengan arusnya pada masakini. “Delta” Pulau Perak pada zaman Tun Mahmud di Pelabuhan Jong ketika itu adalah pada zaman fasa III – IV; dimana Sungai Bidor juga bercabang muara ke Sungai Bernam !! Perlu juga diperingkat bahawa jajahan “Mayuridingam” bertitik mula di (Kuala Kurau sekarang) dan memantai hingga ke kawasan Kuala Selangor .
9.40 Perihal Bendahara Tun Mahmud dipaksa pulang ke Johor oleh ayahnya Bendahara Paduka Tuan sesungguhnya berlaku setelah paduka adinda Sultan Muzaffar yang sedang memerintah di ‘Hujung Tanah’ itu terlalu murka apabila mendapat khabar beberapa lama kemudian, tentang wakil ulungnya sudah menumpukan taat setia kepada paduka kekandanya di Perak. Lagi-lagi tanpa restu dan izin daripada Kerajaan Johor. Maka terkikis hati Sultan Alauddin yang mungkin telah menimbulkan kata-kata selogika ini: ‘Sudahlah segala-galanya Perkakas Kebesaran Melaka terlepas dari peganganku, inikan pulak Perak mempunyai juga Teras Bendahara Melaka bermertuakan Kedah! Tidakkah puas lagi Abang Muzaffar sudah bersandar ke Bukit Saguntang?!’ Maksud penulis, perasaan yang tertimang lebih berupa pembuaian dengki Sultan Alauddin dan Bendahara Tun Ishak. Mereka seharusnya menyorok di sebalik pendalihan maruah kuasa pusat Empayar Melayu-Melaka di Johor itu telah diketepikan oleh para pembimbing Sultan Perak. Kisah-kisahnya akan tertera nanti di bab-bab yang berikut.
9.41 Tambahan lagi, Bendahara Johor secara peribadi pula merasa aib anaknya sendiri telah menunjukkan biadab memutuskan bicara tanpa pengetahuan beliau. Sekiranya Tun Mahmud terlebih awal dahulu membisikkan permohonan kepada Tun Ishak Berakah, ataupun dirayui oleh abang ipar Tun Ishak (Tun Aria Bija Diraja), pakatan sokongan meletakkan menantu Pembesar Manjong-Beruas itu ke jawatan Bendahara Perak I, kalaupun ditarik pulang ke Johor, seharusnya ada pertimbangan tolak ansur, dan tidaklah sebegitu angkuh sekali corak perampasan Tun Mahmud itu. Bendahara Paduka Tuan Tun Ishak sesungguhnyalah peneraju bagi kedua-dua pertubuhan kerajaan-kerajaan Perak dan Johor. Diperingatkan kembali kata-kata dan falsafahnya:
“..........Lainkah Sultan Pahang dan Sultan Perak dengan Yang Dipertuan (Johor)? Sekaliannya itu tuan pada kita, tetapi pada ketikanya baik! Jikalau pada jahatnya, hingga Yang Dipertuan (Johor) juga seorang tuan kita” .
Kegeraman sang penganjur Kerajaan Perak yang tiada dipelawa berbincang kian ketara dengan kelantangannya yang terkenal. Seharusnyalah, anaknya sendiri pun tiada diizinkannya bertuankan Raja yang tiada berbincang dengannya terlebih dahulu. Ini membuktikan Sultan Muzaffar I masih kurang arif tentang bermain diplomasi antara negeri. Begitulah situasi Sultan Muzaffar I yang serba serbi menempuhi masalah-masalah mengaturkan Kerajaan yang baru tertubuh dengan pengalaman yang cetek. [Bagi mengetahui insiden ini dengan sepenuhnya, SILA RUJUK KE LAMPIRAN ‘F’]
9.41 Dalam pada itu, kerajaan Johor pula sedang serentak memperkukuhkan kuasa ‘Melaka-Dalam-Buangan’ I yang baru dikenalpasti di tempat yang strategik di Pekan Tua. Oleh itu seharusnya masalah-masalah di Perak itu diperanak tirikan oleh Bendahara Tun Ishak untuk seketika waktu. Beliau tetap mematuhi amanah sumpah dan janji menjunjungi Teras Melaka yang terpilih oleh Paduka almarhum Mahmud Shah, yakni, membimbing Kerajaan di ‘Hujung Tanah’.
9.42 Sekiranya Bendahara Paduka Tuan itu tidak terlibat merancangkan penubuhan Kerajaan ‘Indera Sakti’ ‘Melaka-Dalam-Buangan’, nescaya tiada tersimpan segala alat-alat dan perkakas Kerajaan ‘Melaka Seri Saguntang’ itu di Negeri Perak. Sudah tentu angkatan perang ‘Hujung Tanah’ akan mengejar dan merampasnya kembali dari kawasan `Negeri Laut’. Malah, pembuktian sepertimana yang kini nyata, pada kemudian peristiwa, ada dilaporkan tentang angkatan Johor telah datang ke Perak; tetapi bukan menyerang Kerajaan Sultan Muzaffar. Sebaliknya, membantu Perak menyelesaikan satu masalah yang tiada terdaya baginda dan orang-orang besar Manjong-Beruas, Selinsing dan (Pulau) Perak-Bernam mengatasinya. Kisah ini akan terdedah nanti.
Rumusan
9.43 Nampaknya sudah ketara tentang suatu hakikat perihal strategi keseluruhan kuasa-kuasa Melayu membangunkan Kerajaan-kerajaan ‘Melaka-Dalam-Buangan’ I dan II. Konsepnya yang kian terdedah ialah:-
* Melaka-Dalam-Buangan I
Kuasa Melayu di ‘Hujung Tanah’ mempertahankan imej dan prestasi dengan lambang diraja berupa keperkasaan BENDAHARA Teras Melaka bersama-sama Teras Melaka Diraja yang bertanahkan SERI NARA DIRAJA. Keterasan benih Bendaharanya yang “Menyirihi Nobat” tidak boleh dibahagi-bahagikan kepada negeri-negeri takluknya.
* Melaka-Dalam-Buangan II
Kuasa Melayu di pantai barat ke utara Semenanjung diharap dapat mempertahankan imej dan prestasi kedudukannya (tanpa tertonjol elemen Bendahara Melaka) dengan dilambangkan oleh:
(i) ALAT-ALAT KEDAULATAN NARA ‘Bukit Saguntang’ yang berupa Perkakas Kerajaan Melaka serta para ahli ‘Kalur’ Melaka-Palembang di sesuatu tapak jajahan Srivijaya purba yang terkenal; iaitu ‘Mayuridingam’ = Selinsing-Beruas-Manjong-Perak-Bernam-Kuala Selangor yang mempunyai pusat asal kuasa di ‘Gangganegara’ @ ‘Negeri Laut’ di sekitar Daerah Manjong-Beruas pada masa kini.
(ii) Seorang Waris Teras Melaka Diraja yang bertanahkan Kelantan-Pattani. (Perlu juga dijelaskan di sini bahawa mengikut lagendanya, paduka ayahanda Puteri Onang Kening bonda Sultan Muzaffar I itu adalah juga keturunan ‘Raja Chulan’ @ Rajendra Choladeva I dari sebelah puteri Raja Langkasuka [Pattani] yang dikahwini oleh @ ‘Raja Suran’ itu) .
9.44 Menepis-nepis Keris Picit, tertikam pulak dek Rencung! Malangnya, strategi keseluruhan ini tiada agaknya sebegitu berjaya, disebabkan fakta-fakta situasi ekonomi dan logistik, lagi sosio politik yang tidak dapat dielak ataupun diatasi. Keadaan dan masa tetap berubah-ubah. Suatu daripada kemajuan politik Melayu yang mungkin tidak disedari mahupun disangkakan ialah kedudukan sebuah kuasa yang pada awalnya, disuntingi menghias strategi politik Hujung Tanah. Mengharapkan pagar, pagar pulak memakan padi! “Pagar” itu semakin hari semakin membangun, nun di kawasan penjuru Sumatera Utara.....Acheh!
Label: OCU AGUS |